Monday, February 14, 2011

:)

 “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran disisisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim) “Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..” (Haslinda Lukman, Majalah Cahaya Feb 06) Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah  hubungan yang sangat mulia kerana sahabat berperanan dalam membentuk personaliti seseorang individu. Ada sahabat yang sanggup menghulurkan tangan ketika kita susah dan menjadi peneman di saat kita sedang berduka. Namun, tidak kurang juga sahabat yang hanya tahu menumpang kesenangan di atas sahabat yang lain. Bila sekali kita jatuh, jangankan hendak menghulurkan tangan, memandang wajah kita jauh sekali. Saya yakin, bukan sahabat jenis ini yang anda mahukan. Sahabat? Apa itu sahabat?. Ada orang kata sahabat itu macam bulu tangkis, belum main dipegang, bila main dipukul. Ada juga orang kata sahabat itu diiibaratkan macam bola ragbi, belum dapat direbut, dah dapat dilindung dan dijaga. Apa pun takrifannya, bagi aku seorang sahabat itu amat sukar dicari, lebih sukar ditinggalkan, dan mustahil dilupakan, seorang sahabat yang sanggup berkongsi suka duka dan menyelami perasaan sahabatnya yang lain, menghulurkan tangan di kala kita memerlukan pertolongan dan bantuan. Berbeza dengan istilah kawan, bergantung kepada individu untuk mendefinisikannya, tetapi bagi aku seorang kawan tidak ada yang istimewa, hanya sesuai untuk dijadikan tempat berborak dan biasanya kawan untuk bergembira lebih ramai daripada kawan berduka. 
Apakah ciri-ciri sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: ”Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti ; jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu; jika engkau rapatkan persahabatan dengannnya, dia akan membalas balik persahabatan kamu; jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu; jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan  baik; jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu. “Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya; jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya; jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu; jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu; jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu; jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu; jika kamu berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan; dia membantu menunaikan tanggugjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat; dan yang terakhir sekali ialah dia mendorongmu dalam mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.
“Pernahkah sahabat anda menikam anda  daripada belakang?. Apakah perasaan anda ketika itu? Adakah marah, pedih, perit, benci atau dendam bermaharajalela di dalam hati anda?. Daripada apa yang aku faham, tikam belakang ini merupakan satu tingkahlaku di mana seorang sahabat bermuka-muka depan sahabatnya yang lain. Sebagai contoh, depan kita segala-galanya baik, manis tetapi di belakang kita, dialah gunting dalam lipatan. Segala rahsia dan amanah yang kita kongsikan bersama dengannya, habis dijaja kepada orang lain dan yang lebih menakutkan apabila ianya melibatkan maruah kita. Perbuatan seperti ini tidak memberi manfaat malah lebih memburukkan keadaan kedua belah pihak dan juga masyarakat sekeliling yang telah mengetahui perkara sedemikian. Secara tidak langsung, pihak yang telah ditikam belakang itu tadi akan merasa ditindas, dianiayai dan dimalukan oleh sahabat sendiri. Tikam belakang biasanya terjadi apabila seseorang itu menyimpan perasaan iri hati terhadap orang lain, tidak berasa senang dengan apa yang mereka ada, cemburu dan dengki di atas kejayaan orang lain.
Dalam urusan bisnes pula, seseorang itu sanggup menikam sahabat mereka demi untuk mencapai apa yang diingininya, menjatuhkan sahabat sendiri dan mentertawakan mereka setelah berada di puncak. Selain itu juga, bagi mereka yang menyimpan dendam terhadap seseorang mungkin menjadi salah satu punca tikam belakang berlaku dalam persahabatan. Demi kerana dendam yang tidak berbalas, individu ini sanggup mengambil jalan mudah untuk menganiaya sahabat sendiri sekalipun bersahabat selama bertahun-tahun.  Akibat daripada insiden tersebut, hubungan individu dengan sahabatnya akan menjadi renggang seterusnya menjadi penghalang untuk mereka kembali menjadi intim. Keadaan ini akan berterusan, mungkin untuk sebulan, setahun atau mungkin selama-lamanya, bergantung kepada mereka yang mengalaminya dan sejauh mana kekuatan diri mereka dapat bertahan.
Adakalanya, mereka yang pernah ditikam belakang ini akan menyimpan perasaan dendam sekalipun mereka telah memaafkan individu yang menganiaya mereka. Ini kerana, bukan mudah bagi mereka untuk melupakan apa yang telah diperlakukan ke atas mereka lebih lagi jika ianya melibatkan maruah mereka yang telah tercalar dan diketahui oleh umum. Oleh itu, berwaspadalah bila kita berbicara kerana kita tidak sedar adakalanya kita membuka cerita orang lain sehingga boleh mendatangkan aib pada individu yang terbabit. 
Dalam bersahabat, tidak semuanya baik. Kadang-kadang sahabat ni hanya tahu bermuka-muka. Depan kita, manisnya ayat, lembut gigi dari lidah. Belakang kita, segalanya diperkatakan hingga tidak sedar yang kita telah mengaibkan individu lain.Tikam belakang atau backstabbing merupakan satu keadaan di mana sahabat karib telah melakukan satu perkara yang tidak sepatutnya kepada sahabat sendiri. Bergantung kepada individu, adakah tikam belakang ini satu habit atau perlu berbuat begitu untuk melindungi atau untuk mengelakkan dirinya daripada menerima akibatnya. (bergantung kepada situasi). Perkara ini berlaku apabila tiga elemen ini bergabung iaitu fikiran, tingkahlaku dan perasaan. Tiga elemen ini penting dalam perlakuan kita seharian. Apabila ianya bergabung, maka perbuatan adalah perkara terakhir. Adakalanya kesannya lebih teruk bagi kedua belah pihak sehinggakan membawa kepada kebencian tetapi kita kena bijak membezakan sama ada kita membenci empunya diri atau perbuatannya.” 
 Akhir kalam, setiap apa yang terjadi dalam hidup kita, anggap ianya sebagai asam garam dalam kehidupan. Kita tidak meminta untuk semua itu tetapi kita juga tidak boleh menolak apa yang telah tertulis ke atas diri dan berusahalah untuk memperbaiki kehidupan agar lebih ceria di samping sahabat-sahabat yang anda sayang. Ingatlah, apa jua yang kita lakukan biarlah ikhlas kerana Allah :)

1 comments:

walau itew ad couple,teman still pling setia.. kalau kita punya harta banyak, teman still paling berharga.

renung2 kn :)

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More